Sunday, January 9, 2011

Syed Danial Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja baru

KUALA LUMPUR - Datuk Syed Danial Syed Ahmad,: 66, dilantik Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang baru berkuat kuasa 10 Januari ini.

Beliau menggantikan Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah (gambar) yang bersara setelah berkhidmat selama 22 tahun.

Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Datuk Sabtu Awab berkata, Syed Danial yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dan Sarjana dari Universiti of Wisconsin, Madison di Amerika Syarikat, pernah menyandang jawatan Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara.

“Syed Danial dilantik pada mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-222 tahun lalu,” katanya pada majlis tertutup meraikan Engku Ngah Ibrahim di pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, di sini, semalam.

Sabtu berkata, Syed Danial dilantik secara kontrak selama tiga tahun.

Syed Danial, yang berasal dari Pulau Pinang, berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 32 tahun sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di beberapa kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri.

Engku Ibrahim, 79, adalah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang paling lama menyandang jawatan itu.-Bernama

Popular Posts

FREE PALESTINE

Followers