Monday, August 6, 2012

Sejarah Nuzul Al-Quran


Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur'an yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini.

Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M.

Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.



Diantara pengajaran-pengajaran Nuzul Quran ialah :

  1. Allah swt memilih para rasulnya dikalangan mereka yang memiliki peribadi yang mulia. Jika kita hendak mewarisi peranan para Anbiyak ini, maka kita juga seharusnya memiliki akhlak yang luhur, keikhlasan yang tinggi dan ketabahan yang tidak berbelah bagi. 
  2. Walaupun belum dipilih menjadi Nabi dan Rasul, Nabi Muhammad saw telah dapat menilai keburukan tingkahlaku kaum Quraisy yang telah menjadi adat kebiasaan turun temurun seperti minum arak, zina, membunuh anak, riba, menipu dalam timbangan, menindas orang lain, membezakan manusia berdasarkan warna kulit dan sebagainya. Kesemua ini menyebabkan Baginda saw mengasingkan dirinya di Gua Hirak. Oleh itu diantara pra-syarat utama bagi seorang daie (pendakwah) ialah kebencian hatinya terhadap keruntuhan yang sedang berlaku didalam masyarakatnya, walaupun ianya telah nampak biasa dan menebal serta menjadi lumrah dalam masyarakat. Jahiliyah hari ini tidak kurang parahnya seperti arak, zina, buang anak, rasuah, kezaliman ke atas orang lain dan sebagainya. Persoalannya, adakah kesemua ini menyebabkan seseorang itu insaf keadaan tersebut, luluh hatinya mengenangkan nasib umatnya dan bertekad bersungguh-sungguh untuk merubah keadaan tersebut ? Atau saban hari dia membaca akhbar dan mendengar berita yang menyedih dan menjijikkan, namun kesemua itu tidak mengesani jiwanya dan menggerakkan anggotanya untuk berdakwah?
  3. Membaca atau “Iqrak” mempunyai peranan yang sangat penting kepada masyarakat Islam dan diantara sebab utama dalam merubah nasib mereka. Hampir ianya menjadi salah satu ciri umat di Barat yang memimpin dunia hari ini. Adapun di Dunia Islam, minat kepada membaca masih belum melata dan menebal.
  4. Betapa hebat dan kuatnya jiwa Rasulullah saw dalam bukan sahaja menerima ayat-ayat Al-Quran tetapi juga menerima bebanan Dakwah yang terkandung didalam ayat-ayat tersebut. Baginda saw hanya menggigil ketakutan tetapi tidak binasa jiwanya. Sekiranya pada malam itu Al-Quran diturunkan bukan kepada Baginda saw, tetapi kepada Gua Hirak atau Jabal Nur itu sendiri, nescaya akan pecah bukit tersebut lantaran tidak tertanggung amanah yang diberikan oleh Allah swt. “Kalau Kami turunkan Al-Quran ini keatas bukit, nescaya engkau akan melihatnya tunduk dan pecah kerana takut kepada Allah. Demikian perumpamaan Kami berikan kepada manusia supaya mereka berfikir” (Al-Quran). Alangkah jauhnya ramai umat Islam zaman kini yang tidak membaca Al-Quran. Jika membacanya, ramai pula yang tidak memahaminya. Jika memahaminya, ramai pula yang tidak takut, tidak kecut, tidak mengigil kerana takut kepada Penurunnya dan kepada amanah-amanah yang terkandung didalamnya yang mesti dilaksanakan !!
  5. Tidak lengkap mengingati malam Nuzul Quran jika tidak menyebut nama Khadijah ra, isteri tersayang Rasulullah saw. Ketika Rasulullah saw mengigil ketakutan, Khadijah ra tenang lagi menenangkan suaminya !! “Aku takut akan diriku (akan ditimpa musibah dek jembalang tersebut)”, sabda Rasulullah saw, ketika menceritakan pertemuannya dengan makhluk yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. “Kalla !!! Ma yukhzikallahu abada !!!” (Sekali-kali tidak !!! Allah tidak akan membuat sesuatu yang buruk kepada kamu !!! Sesungguhnya engkau menghubungkan Silaturrahim, menyumbang kepada orang yang tidak mempunyai harta, memikul bebanan (orang yang memerlukan bantuan) … “, tegas Khadijah ra dengan penuh kasih sayang yang yakin akan latarbelakang suaminya yang bersih, tidak mungkin sebersih itu Allah swt akan mendatangkan suatu yang buruk kepada insan yang sebegitu dikenalinya. Rasulullah saw beriman dalam keadaan menggigil dan ketakutan yaitu ketika bertemu dengan Jibril. Khadijah ra pula beriman dalam keadaan kasih dan yakin yaitu ketika bertemu dan mendengar apa yang diceritakan oleh suaminya, Rasulullah saw. Khadijah bukan sahaja beriman tetapi menTasdiqkan imannya. Tasdik lebih tinggi dari Iman. Tasdiq ialah membenarkan kepercayaan (Iman) dengan amal perbuatan dan pengorbanan. Khadijah ra membenarkan Imannya dengan memberi dorongan kepada Rasulullah saw dalam berdakwah, menghulurkan harta kekayaannya demi kemajuan dan memberi lonjakan kepada Dakwah Islam lebih-lebih lagi di Tahun-tahun Pemboikotan yang zalim. Oleh itu Jibril telah memaklumkan kepada Rasulullah saw bahawa satu rumah di Syurga telah dibina untuk Khadijah ra. Nabi saw pula bersabda bermaksud, ‘Demi Allah !! Allah belum pernah menggantikan untuk aku isteri yang lebih baik dari Khadijah. Dia beriman kepada aku ketika manusia lain mengkufuri aku. Dia membenarkan aku ketika manusia lain membohongi aku dan tidak mempercayai risalah yang aku bawa. Dia memberi aku akan harta-hartanya ketika manusia lain mengenakan pemboikotan kepada aku …”. Selama 23 tahun Nabi saw berdakwah yang penuh dengan peperangan dan penekanan, namun hanya tahun kematian Khadijah ra Nabi menamakan tahun tersebut ‘Aam Al-Huzn’ (Tahun Kesedihan).
  6. Penurunan Wahyu dan berhubungnya Langit dengan bumi melalui perantaraan Wahyu adalah suatu nikmat yang hanya dirasai oleh para Sahabat ra dan mereka yang memahami Al-Quran dan merasai kemanisannya. Ummu Aiman adalah seorang sahabiah yang hidup panjang di zman Nabi saw dan Khulafak Rasyidin. Di zaman Khulafak Rasyidin, pada suatu hari para Sahabat ra melihat beliau menangis, lalu berkata, “Kenapa menangis wahai Ummu Aiman, bukankah Rasulullah saw kini berada ditempat yang lebih baik?”. Ummu Aiman ra menjawab, “Saya mengetahui bahawa Rasulullah saw kini berada di tempat yang lebih baik, tetapi yang menyebabkan saya menangis ialah kerana Wahyu kini telah terputus (tidak seperti di zaman Nabi saw masih hidup)”. Apakah nikmat yang lebih hebat dari menerima kalam Allah swt yang turun dari langit, menerang dan membimbing, menegur dan memberi amaran, mendidik dan menguatkan jiwa hingga mereka menjadi Khaira Ummah Ukhrijat linnas (Umat yang terbaik yang pernah dikeluarkan untuk manusia). (rujuk kitab tafsir Fi Dzilalil Quran oleh Asy-Syahid Sayyid Qutb, surah Al-Alaq). 

Sumber : Nuzul Al-Quran

[Share Artikel ini di Facebook / Twitter]
* Jika anda merasakan entri ini bermanfaat dan sangat syok untuk dikongsi, berkongsilah dengan teman yang lain di Facebook menggunakan fbShare atau ShareThis di atas.

Popular Posts

FREE PALESTINE

Followers