Bolehkah anak berusia 15 bulan membaca? Apa pandangan anda? Mustahil bukan?
Tetapi pada usia inilah anak anda perlu dilatih untuk mula
mempunyai minat untuk membaca supaya pada usia 3 tahun nanti mereka bersedia
untuk membaca.
Pada mulanya anak-anak kecil ini lebih berminat dengan warna
buku, pergerakan kertas yang diselak, bunyi bising kertas dan suara lucu anda.
Bagaimanapun, sambil anda bercakap dan membaca, mereka akan melihat pergerakan
jari telunjuk anda dan mula melihat warna, bentuk dan corak gambar dan teks
yang dibacakan.
Sedikit demi sedikit bentuk dan corak tersebut menjadi lebih
jelas dan biasa dengan mereka. Seterusnya mereka akan mengaitkan bentuk-bentuk
tertentu dengan bunyi-bunyi tertentu. Biasanya mereka akan membalik-balikkan
muka surat yang dibaca, menunjuk-nunjuk benda yang telah biasa dilihat dan
kadang kala mendengar apa yang diceritakan dan mengikut bersama bercerita
dengan bahasanya sendiri. Melalui bukulah, kanak-kanak dapat membina bahasa,
belajar mendengar, memahami dan bercakap dan menggalakkan komunikasi. Buku juga
bukan sahaja dapat meluaskan imaginasi dan pengalaman mereka tetapi juga
membantu mereka memahami situasi dan cara orang disekelilingnya berinteraksi.
Oleh itu ibu bapa bukan sahaja perlu bijak memilih buku yang
sesuai tetapi juga pandai menggunakan buku untuk merangsang minat membaca
kepada anak-anak kecil.
Pada awalnya, pilihlah buku yang mempunyai ilustrasi
binatang seperti kucing, ikan, ayam dan sebagainya, objek yang dekat dengannya
seperti baju, kasut, sikat, dan sebagainya yang jelas, besar dan berwarna warni.
Bercakaplah mengenai benda-benda di dalam buku tersebut
seperti warna, bentuk, bunyi berkaitan dan kegunaannya. Namakan benda atau
objek yang dilihat dengan sebutan yang jelas. Buku-buku yang interaktif dalam
konteks ada bahagian gambar yang boleh ditarik, ditekan, diselak sangat menarik
minat kanak-kanak supaya terlibat secara langsung dalam sesi membaca. Rangsang
minat anak anda dengan menggalakkan mereka menarik, menekan, mencungkil dan
menyentuh bahagian-bahagian tersebut. Jangan terlalu sayangkan buku sehingga
mereka tidak dapat menyentuhnya. Aktiviti-aktiviti sebeginilah yang akan
menjadikan mereka lebih berminat dengan buku dan merangsang otak mereka.
Seterusnya dapatkan buku-buku nursery rhymes dengan
kisah-kisah lama yang menarik dan penuh dengan hiburan dan pengajaran.
Lagu-lagu yang dikaitkan dalam cerita-cerita ini dapat menarik minat mereka
kepada buku dan seterusnya kepada cerita-cerita yang berlagu ini.Beberapa
cadangan berikut mungkin dapat membantu anda menarik minat mereka kepada buku.
Adakan sesi membaca bersama-sama. Bacakan buku sambil
mendakap mereka.
Bercerita dengan penuh emosi dan minat. Bunyikan bunyi
binatang yang dilihat dengan bersungguh-sungguh dan 'real'.
Libatkan aksi dan pergerakan , contohnya menggerakkan tangan
seperti belalai gajah apabila bercerita.
Tanyakan soalan-soalan seperti berikut:
eh besarnya bola ini. Ani suka bola?
Yang mana satu sudu yang Amir suka?
Apa yang warna biru tu?
Apa jadi selepas ini?
Bercerita dengan bahasa yang mudah. Contohnya: " Ini
kucing. Bunyi kucing 'meow' 'meow' 'meow'. Kucing suka makan ikan"
Untuk sesi membaca atau bercerita bersama, lakukan beberapa
cadangan berikut:
minta anak anda mencari muka surat pertama atau permulaan
cerita.
Sambil membaca, tunjukkan teks perkataan yang dibacakan. Ini
akan membantu anak itu memahami arah pergerakan apabila membaca dan memahami
secara tidak langsung bahawa teks perkataan penting dalam cerita yang dibacakan,
bukan hanya gambar-gambar.
Minta anak anda membalikkan muka surat untuk anda.
Tokok tambahkan cerita yang dibacakan dengan maklumat lain
supaya mereka lebih faham.
Tanyakan kepada mereka apa yang terjadi selepas ini.
Apabila mereka telah biasa dengan cerita yang dibacakan,
minta mereka ceritakan kembali cerita tersebut.
Apabila kanak-kanak sudah mula jinak dengan buku-buku cerita
atau buku gambar, anak anda mungkin telah bersedia untuk diperkenalkan
bunyi-bunyi huruf kepada anak anda. Oleh itu sambil anda membacakan cerita
tersebut, terangkan bunyi huruf yang biasa dilihat yang ada pada teks yang
dibacakan. Contohnya 'a', anda boleh menyebut:
"Ah, cuba lihat ini. Ini bunyinya 'aaa' (untuk huruf
'a')"
"Yang ini pula 'beh' (untuk huruf 'b')"
Pastikan anda tidak memperkenalkan huruf yang dilihat itu
dengan namanya, iaitu 'ei' bagi huruf 'a', atau 'bi' bagi huruf 'b'.
Kanak-kanak hanya perlu diperkenalkan dengan bunyi huruf sahaja iaitu 'aa'
(untuk 'a') dan 'beh' (untuk 'b') kerana nama-nama huruf tidak ada makna bagi
seorang kanak-kanak kecil. Bahkan mengajar nama-nama huruf, bagi seorang
penulis buku, Professor Robert K. Logan dalam bukunya, The Alphabet Effect,
mengatakan 'teaching a,b,c is the first road block to reading.'
Sumber : Teknik Didik Anak Membaca
[Share Artikel ini di Facebook / Twitter]
* Jika anda merasakan entri ini bermanfaat dan sangat syok untuk dikongsi, berkongsilah dengan teman yang lain di Facebook menggunakan fbShare atau ShareThis di atas.