Wednesday, January 7, 2009

Pengagihan Pendapatan Amanah Saham Bumiputera 2008


ASB AGIHKAN PENDAPATAN 7.00 SEN SEUNIT DAN BONUS 1.75 SEN SEUNIT

15 Disember 2008
KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad ( PNB ) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 7.00 sen seunit dan bonus 1.75 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008.

Peruntukan bagi pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sebanyak RM4.22 bilion, hampir sama dengan jumlah yang diperuntukkan bagi pengagihan pendapatan ASB pada 2007.

Peruntukan bagi pembayaran bonus pula membabitkan jumlah sebanyak RM678.03 juta oleh PNB.

Pengerusi PNB , Tun Dato’ Seri Ahmad Sarji berkata, pembayaran itu akan memberi manfaat kepada 6.56 juta pemegang unit yang kini melanggan 62 bilion unit ASB.

Tun Ahmad Sarji berkata, 2008 ialah tahun yang mencabar bagi pengurus tabung ASB seperti yang dapat dilihat dalam pasaran ekuiti yang menyaksikan penurunan sebanyak 40.85 peratus dalam penanda aras Indeks Komposit KLSE sepanjang tahun ini berikutan krisis kredit dan kewangan di negara maju.

Walaupun begitu, disiplin dan sikap berhati-hati yang diamalkan oleh pengurus tabung ASB membantu tabung ini terus mencatatkan prestasi memberangsangkan.

Sehingga 10 Disember, 2008, ASB telah memperolehi pendapatan kasar sebanyak RM5.14 bilion. Pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM3.12 bilion atau 60.71 peratus daripada jumlah pendapatan kasar tersebut manakala keuntungan daripada penjualan saham menyumbang sebanyak RM1.58 bilion atau 30.75 peratus. Pendapatan selebihnya yang berjumlah RM439 juta atau 8.54 peratus diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pelaburan lain.

Pengiraan pengagihan pendapatan ini adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASB yang berakhir pada 31 Disember 2008. Pengiraan bonus pula dibuat berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan yang dimiliki pelabur dalam tempoh 10 tahun bermula dari 1999 sehingga 2008.

Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus ASB akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan pemegang unit. Pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASB mulai 2 Januari 2009.

Semua urusniaga bagi ASB di Ibu Pejabat ASNB, pejabat-pejabat dan ejen-ejen ASNB di seluruh negara akan ditangguhkan bermula pada 19 Disember, 2008 sehingga 1 Januari, 2009 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus.

ASB adalah sebuah tabung ekuiti pendapatan berharga tetap yang disasarkan kepada Bumiputera berumur 12 tahun ke atas. Sasaran tabung ASB ialah menjana pulangan jangka penjang yang konsisten dan kompetitif kepada pemegang unit dan pada masa sama, memastikan pengekalan modal pada tahap risiko yang munasabah.

Link : Pengagihan Pendapatan Amanah Saham Bumiputera 2008

No comments:

Popular Posts

FREE PALESTINE

Followers