KUALA LUMPUR 21 Jan. - Muzakarah Pakar anjuran Institut  Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini mengambil kata sepakat penggunaan  kalimah Allah sebagai terjemahan atau ganti nama kepada 'God' tidak  tepat.
Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, penggunaan kalimah  Allah oleh bukan Islam juga menyalahi hakikat sebenar kerana ia bercanggah  dengan konsep Tuhan yang dianjur oleh agama Islam atas dasar setempat di  Malaysia.
''Hasil keputusan Muzakarah Pakar ini akan diserahkan secepat mungkin kepada  kerajaan untuk tindakan lanjut,'' katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri  muzakarah tersebut di IKIM di sini hari ini. 
Muzakarah yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah IKIM, Nik Mustapha Nik  Hassan itu disertai oleh tujuh ahli panel iaitu Prof. Madya Dr. Kamar Ainiah  Kamaruzzaman dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam  Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk  Dr. Abdullah Md. Zin,
Panel lain ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ahli Majlis  Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Mohd. Nur Manuty; bekas Mufti  Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan  Kemasyarakatan IKIM, Dr. Mohd. Sani Badron dan Felo Pusat Kajian Syariah,  Undang-Undang dan Politik IKIM, Md. Asham Ahmad.
Seramai 70 peserta mengikuti muzakarah itu termasuk wakil Jabatan Peguam  Negara, pihak berkuasa agama negeri, ahli-ahli akademik daripada institusi  pengajian tinggi (IPT), badan-badan dakwah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  Islam.
''Saya berpuas hati kerana perbincangan ini telah berjalan dengan lancar dan  harmoni walaupun para peserta datang daripada fahaman politik yang berbeza ,''  katanya.
Abdullah berkata, IKIM mengambil pendekatan menganjurkan muzakarah  memandangkan kemelut isu penggunaan kalimah Allah telah menimbulkan kekeliruan,  kecelaruan dan boleh membawa kesan negatif bukan sahaja kepada orang Islam malah  kepada penganut agama Kristian.
Beliau berkata, dalam perbincangan itu, peserta bersetuju bahawa mereka perlu  menghormati dan menjunjung Perlembagaan Malaysia yang memberi kebebasan  beragama.
Sumber : Utusan Malaysia 
# p/s : kita sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan sifat sukakan kedamaian dan kemakmuran haruslah menghormati keputusan yang dibuat dan menjunjung tinggi Perlembagaan Negara kita Malaysia...
Friday, January 22, 2010
Utusan Malaysia
      
    
